1 Hj Khairuddin bin Mohamad Sidek Ketua 2 En Mohd Ali bin Hasan @ Ibrahim Penolong Ketua 3 En Khairuddin bin Ahmad Anggota 4 En Mat Azman bin Ismail Anggota 5 En Mohd Fairuz bin Mohd Rafi Affandi Anggota
Saya amat berbesar hati kerana masih diberi kesempatan untuk menjadi sebahagian daripada organisasi yang kaya dengan semangat kekitaan, menghidupkan aspirasi untuk menjunjung kepentingan dan kebajikan anggotanya.
Saya difahamkan bahawa KSK MAS sedang merancang memperluaskan perniagaan Ar Rahnu sedia ada kepada masyarakat umum khasnya selain daripada Anggotanya. Dengan izin Allah saya berharap segala perancangan Anggota Lembaga dan Pengurusan Koperasi akan menjadi kenyataan dan terus berkembang serta mempelbagaikan lagi aktiviti perniagaan dan pelaburan sejajar dengan keperluan semasa sektor ekonomi. Ini bagi menjaga kepentingan dan kebajikan seluruh Anggota KSK MAS.
Saya percaya pencapaian ini adalah hasil usaha kolektif kerjasama daripada seluruh warga KSK MAS. Oleh yang demikian, saya amat berharap agar semangat bersatu padu (solidarity), bekerja bersama-sama, tolong menolong dan bantu membantu tersebut, akan terus subur dan mekar, demi memenuhi keperluan dan manfaat bersama.
Di sebalik mengejar kejayaan, Koperasi juga perlu memastikan kepentingan dan kebajikan Anggota terus dipelihara serta dipertingkatkan sejajar dengan keuntungan yang dicapai. Walaupun Anggota sering berharap Jumlah Dividen yang akan dibayar tinggi tetapi ini bukanlah ukuran yang tepat, sebaliknya sebagai Anggota, kebajikan dan kemudahan yang ditawarkan perlu dihargai dan dinilai dengan sewajarnya.
Saya selaku Penaung KSK MAS ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua Anggota Lembaga dan Pengurusan Koperasi kerana telah berjaya memenuhi amanah dan kepercayaan semua Anggota.
Akhir kata, jika berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, Insya-Allah, tiada apa yang mustahil untuk dilaksana. Saya yakin KSK MAS akan terus berkembang maju dan berjaya. Yang dapat manfaatnya, sudah tentulah seluruh warganya juga.
Warga kerja bersatu umpama keluarga…. Suka duka dikongsi bersama…..
Salam hormat dari saya;
MOHD NADZIRUDDIN BIN MOHD BASRI Penaung KSK MAS (M) Berhad
Syukur kepada hadrat Ilahi kerana di atas segala limpah nikmat dan kurnia-Nya, KSK MAS masih terus dapat menabur bakti dalam menjaga kebajikan para anggotanya.
Berkat perancangan dan langkah-langkah yang diambil serta kerjasama yang erat di antara barisan Anggota Lembaga dan Pengurusan KSK MAS, Alhamdulillah hari ini KSK MAS masih terus berdiri teguh. Saya percaya, selain perancangan dan segala usaha yang telah dilakukan, faktor utama yang memberi kekuatan ini adalah tekad untuk terus menabur bakti kepada para anggota; seperti mana yang telah dilakukan untuk sekian lama.
Benar, situasi yang tidak menentu menuntut kita untuk membuat beberapa perubahan yang perlu demi menurut kehendak dan keperluan semasa. Pun begitu, hakikatnya, KSK MAS tetap terus menggerakkan kelangsungan legasi seperti kempen keanggotaan, masih berusaha mendapatkan semula bayaran tertunggak bagi Anggota-anggota yang berhutang dengan usahasama daripada perkhidmatan ‘Debt Collector’ serta khidmat Peguam bagi mendaftarkan kes ke Mahkamah Sivil. KSK MAS juga masih menyalurkan sumbangan kepada Anggota jika mereka dilanda musibah menerusi Tabung Kebajikan Koperasi KSK MAS dan KSK MAS masih lagi menawarkan kemudahan pembiayaan kepada para anggota yang berkelayakan. Business as usual. Segalanya seperti biasa.
Dalam masa yang sama, KSK MAS akan terus berinovasi dan bertransformasi seiring dengan zaman, agar ia kekal relevan dan lestari.
Di kesempatan ini, saya ingin menyeru rakan-rakan saya semua, para anggota KSK MAS yang dihormati, untuk memandang ke hadapan. Mari kita lihat semua cabaran sebagai peluang untuk kita membina sesuatu yang lebih baik, lebih berdaya saing dan lebih mampan.
Sekalung tahniah dan terima kasih kepada semua Anggota KSK MAS atas sokongan dan kepercayaan di sepanjang tahun 2022. Tidak ketinggalan, ucapan terima kasih kepada pihak Pengurusan MAS yang sentiasa memberikan sokongan padu kepada KSK MAS.
Akhir kata, saya ingin mengingatkan kepada diri saya serta semua rakan Anggota Lembaga dan Pengurusan KSK MAS agar akan terus menyuntik semangat dan keutuhan dalam mengekalkan kejayaan dan kecemerlangan pencapaian di masa hadapan.
Kejayaan demi kejayaan terus dihajatkan…. Kemudahan dan kebajikan tidak akan dilupakan…..
Wassalam.
Salam hormat
MOHAMAD ISHAK BIN HJ ABDULLAH Pengerusi KSK MAS (M) Berhad