Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera…
Alhamdulillah, dikesempatan ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi perhargaan dan jutaan terima kasih kepada Koperasi kerana masih diberi peluang sebagai Penaung Koperasi Serbaguna Kakitangan MAS Malaysia Berhad (KSK MAS) mulai tahun 2015 sehingga kini.
Pertamanya, saya ingin mengucapkan Tahniah & Syabas kepada Anggota Lembaga dan seluruh warga kerja KSK MAS serta Anggota khasnya kerana telah menyambut Jubli Emas Ke-50 Tahun dan di atas kejayaan yang telah dikecapi oleh Koperasi pada tahun 2024. Ini kerana Koperasi telah berjaya meningkatkan prestasi pencapaian dengan cemerlang dan telah dianugerahkan Anugerah Koperasi Terbaik Wilayah Persekutuan 2024 tersenarai pada kedudukan ke-18 sempena Hari Koperasi Negara 2024 Peringat Wilayah Persekutuan yang mempunyai 1,171 jumlah keseluruhan koperasi berdaftar. Kejayaan terus diraih oleh KSK MAS apabila turut terpilih dalam Profil 100 Koperasi Terbaik Malaysia 2024 daripada 15,809 koperasi berdaftar di Malaysia. KSK MAS telah dianugerahkan kedudukan ke-48 daripada 100 Koperasi Terbaik Tahun 2024 di Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi 2024. Semoga dengan pengiktirafan Profil 100 Koperasi Terbaik Malaysia Tahun 2024 ini akan mendorong koperasi untuk melipatgandakan usaha dalam memastikan koperasi terus cemerlang, berkualiti dan terus relevan.
Sekali lagi, Tahniah diucapkan di atas kejayaan yang telah dikecapi oleh Koperasi pada awal tahun 2025, kerana kini telah memiliki 1 Lot Bangunan 3 Tingkat yang telah dinamakan sebagai Wisma KSK MAS dan telah berjaya membuka satu lagi cawangan Ar Rahnu di alamat No 2, Jalan SIP 1, Suria Industrial Park, 43900 Sepang, Selangor.
Namun apa yang penting pada tahun ini dan tahun-tahun mendatang, kecemerlangan ini hendaklah diteruskan dan tidak boleh leka serta berasa selesa dengan kejayaan yang diraih setiap tahun.
Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Anggota Lembaga, Jawatankuasa Audit Dalaman, Perwakilan serta Pengurusan KSK MAS atas segala khidmat bakti yang telah dicurahkan selama ini. Tanpa kesepakatan dan usaha gigih semua pihak, tidak mungkin Koperasi dapat bergerak sepertimana sekarang. Keikhlasan hati seharusnya dijadikan amalan dalam kita melaksanakan setiap tugas yang diamanahkan.
Akhir kata, saya selaku Penaung KSK MAS dan mewakili pihak Pengurusan Malaysia Aviation Group (MAG) akan terus memberikan sokongan dan akan mengekalkan jalinan kerjasama ini demi kepentingan dan kebajikan Anggota KSK MAS di masa hadapan. Insya-Allah
Buah salak di dalam kantung
Kulitnya keras isinya kelat
Bulat air kerana pembetung
Bulat manusia kerana muafakat
Sekian, wassalam.
MOHD NADZIRUDDIN BIN MOHD BASRI
Penaung KSK MAS (M) Berhad